Jenayah siber kerugian cecah RM2.7 bilion, PDRM perkukuh kerjasama tangani ancaman

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (kanan) melawat pameran pada Majlis Perasmian Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di KLGCC Convention Centre/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran ancaman keselamatan moden termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian dan jenayah rentas sempadan kini semakin kompleks serta memerlukan kerjasama strategik pelbagai pihak bagi menanganinya secara berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerugian penipuan dalam talian di Malaysia dilaporkan mencecah RM2.7 bilion bagi tahun 2025.
  • Op Hazard 3.0 membongkar lebih 110 lokasi e-waste haram, menunjukkan ancaman keselamatan moden semakin kompleks.
  • Perjanjian USM-PDRM bagi sains forensik menawarkan tempat pengajian dan memperkukuh kapasiti siasatan forensik PDRM.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata ancaman keselamatan semasa tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian memandangkan modus operandi sindiket kini semakin sofistikated dan sukar dikesan.

“Statistik menunjukkan jumlah kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia sahaja telah mencecah RM2.7 bilion bagi tahun 2025.

“Kejayaan Op Hazard 3.0 yang membongkar lebih 110 lokasi e-waste haram turut memperlihatkan evolusi ancaman keselamatan moden yang semakin kompleks dan sukar dibendung tanpa kerjasama strategik pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Mohd Khalid, persidangan itu turut memberi tumpuan terhadap ancaman moden seperti jenayah siber, penipuan dalam talian dan jenayah rentas sempadan, sindiket narkotik dan kelestarian alam sekitar.

“Tema ‘Synergized Policing: Securing the Future Together’ amat bertepatan dengan realiti keselamatan global masa kini.

“Kita memperluaskan fokus perbincangan melibatkan ancaman moden seperti jenayah siber, penipuan dalam talian, jenayah rentas sempadan, sindiket narkotik dan isu kelestarian alam sekitar,” jelasnya.

Beliau berkata sebanyak 31 sesi pengisian melibatkan ucaptama, perbincangan panel dan bengkel teknikal diadakan melibatkan pemain industri, pakar teknologi, agensi penguatkuasaan serta penggubal dasar.

Antara topik utama dibincangkan termasuk evolusi teknik manipulasi psikologi dalam jenayah siber, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kawalan sempadan serta strategi melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah melalui risikan kewangan.

Dalam pada itu, beliau berkata satu lagi pencapaian penting PSD V 2026 iaitu pemeteraian memorandum perjanjian antara Universiti Sains Malaysia dan PDRM dalam bidang sains forensik.

Menerusi perjanjian itu, USM menawarkan tiga tempat bagi program Ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah dalam bidang sains forensik selain dua tempat dalam bidang sains sosial, pengurusan atau komunikasi dengan pengecualian yuran pengajian sepenuhnya.

“Kolaborasi strategik yang terjalin sejak tahun 2016 ini merupakan manifestasi komitmen kita dalam memperkukuh keupayaan siasatan forensik PDRM menerusi perkongsian kepakaran, latihan profesional dan penyelidikan strategik,” katanya.

Tambahnya, segala input dan teknologi yang dikongsikan sepanjang dialog itu juga akan menjadi pemangkin kepada penganjuran Asia International Security Summit & Expo 2027 yang dijadual berlangsung pada awal tahun hadapan.