
IPOH, 16 Mac – Tiga lelaki tempatan ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika disyaki cuba mencuri kabel di kawasan tanah lapang, Taman Rapat Perdana di sini, pagi tadi.
- Kejadian dilaporkan oleh orang awam ke Balai Polis Kampung Rapat; cubaan mencuri kabel TNB sekitar pukul 10 pagi.
- Pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong kabel pada tiang TNB.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511; mayat dihantar ke forensik dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Maklumat mengenai kejadian diterima Balai Polis Kampung Rapat daripada orang awam berkaitan kejadian cubaan mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah berkata pemeriksaan mendapati kesemua lelaki tersebut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong kabel pada tiang TNB.
Mayat ketiga-tiga lelaki telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 kanun keseksaan kerana cubaan mencuri dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu siasaan lanjut.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah seperti mencuri kabel kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran.