Op PeWA: 49 kenderaan warga asing disita JPJ Melaka

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop / RTM

BUKIT KATIL, 10 Jun – Sebanyak 49 kenderaan disita manakala 98 notis saman dikeluarkan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op PeWA) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di sekitar negeri ini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesalahan utama: tiada lesen memandu sah, Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
  • Sebilangan besar kenderaan milik warganegara tempatan dipercayai disewa atau dipinjamkan kepada warga asing untuk kerja dan perniagaan.
  • Jan hingga 9 Jun: 2,322 kenderaan diperiksa; tindakan diambil ke atas 774 kenderaan, 177 disita dan 951 notis dikeluarkan.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, tindakan tegas itu diambil hasil pemeriksaan ke atas 147 kenderaan, dengan etnik Rohingya merekodkan jumlah tangkapan tertinggi, diikuti warga Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Vietnam.

Beliau menjelaskan, antara kesalahan utama yang dikesan sepanjang operasi tersebut termasuklah tiada lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

“Siasatan awal mendapati kebanyakan kenderaan yang digunakan oleh warga asing ini adalah milik warganegara tempatan, yang dipercayai diberi sewa atau dipinjamkan bagi tujuan pekerjaan serta perniagaan.

“Rata-rata memberikan alasan meminjam kenderaan daripada majikan untuk urusan kerja, namun sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut pihak kami masih menyiasat secara terperinci,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Melaka di sini hari ini.

Sementara itu, Siti Zarina mendedahkan bagi tempoh 1 Januari hingga 9 Jun tahun ini, sebanyak 2,322 kenderaan telah diperiksa oleh pihaknya melibatkan pemandu warga asing.

Daripada jumlah itu, tindakan telah diambil terhadap 774 kenderaan, manakala 177 kenderaan disita dan sebanyak 951 notis kesalahan dikeluarkan atas pelbagai pelanggaran undang-undang jalan raya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.