
CYBERJAYA, 21 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang disyaki memuat naik kandungan palsu di platform media sosial TikTok berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjayanya.
- MCMC membuka kertas siasatan terhadap individu disyaki memuat naik kandungan palsu berkaitan SPRM dan Ketua Pesuruhjaya.
- Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun.
- MCMC menegaskan tindakan penguatkuasaan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
- Orang ramai diingatkan bertanggungjawab menggunakan media sosial dan tidak menyebarkan kandungan yang menjejaskan keharmonian masyarakat.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan individu berkenaan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, manakala satu unit peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi untuk memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.