
KUCHING, 13 April – Mengenakan tindakan tegas terhadap kes salah guna kad fleet dibawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) merupakan antara lima langkah utama yang akan dilaksana bagi membanteras ketirisan bahan api.
- Penetapan agensi peneraju untuk tiga sektor: darat oleh KPDNKS, sempadan oleh PDRM, perairan oleh APMM bagi penguatkuasaan bersepadu.
- Penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 di Sabah, Labuan dan Sarawak untuk mengukuhkan operasi pencegahan ketirisan bahan api.
- Memperketat kawal selia terhadap aktiviti bunkering haram dan menugaskan polis sementara di stesen minyak berisiko tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dipersetujui Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) baru-baru ini.
“Keputusan utama dipersetujui jawatankuasa itu ialah penetapan agensi peneraju bagi tiga sektor utama iaitu sektor darat akan diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, sektor sempadan oleh Polis Diraja Malaysia dan sektor perairan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan secara bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Langkah lain termasuk peluasan penggunaan kad fleet di bawah SKDS, selain penubuhan pasukan khas Op Tiris 4.0 di Sabah, Labuan dan Sarawak.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi diesel, termasuk menggantung atau membatalkan kelulusan kad fleet di bawah SKDS serta subsidi diesel nelayan,” ujarnya.
Kerajaan turut meningkatkan kawal selia terhadap aktiviti bunkering iaitu pemindahan minyak secara haram.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu juga mempersetujui penugasan sementara anggota polis di stesen minyak berisiko tinggi.