
KUALA LUMPUR, 20 April- Sejumlah enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 248 orang daripada 219 keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Sandakan, setakat 8.00 pagi ini.
- Beberapa PPS dibuka untuk mangsa, termasuk Dewan Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi, Sekolah Kebangsaan Gas, SK Kampung Bahagia, SMK Batu Sapi, Dewan Sibuga, SK Karamunting.
- Pendaftaran mangsa masih berjalan; jumlah keseluruhan masih dalam proses kemas kini oleh JPBN Sabah.
- Kebakaran besar memusnahkan sekitar 1,000 rumah meliputi lebih empat hektar di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, mangsa ditempatkan di beberapa PPS termasuk Dewan Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi, Dewan Sekolah Kebangsaan Gas, Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi, Dewan Sibuga serta Sekolah Kebangsaan Karamunting.
Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan mangsa masih dalam proses kemas kini berikutan pendaftaran di beberapa PPS masih berjalan.
Semalam, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia di Sandakan mengakibatkan kira-kira 1,000 rumah musnah melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.