
KUALA LUMPUR, 5 November – Penyelarasan dan penandaarasan (benchmarking) dilaksanakan bersama negara luar bagi memastikan Malaysia mempunyai standard piawaian kawalan kualiti, kuantiti serta pemantauan bahan api yang lebih menyeluruh di sepanjang rantaian bekalan.
- Langkah diperkuat susulan aduan pencemaran RON95 yang didakwa menyebabkan kerosakan enjin, walaupun belum ada keputusan konklusif.
- Kerajaan melihat keperluan mewujudkan kerangka penyelarasan yang lebih menyeluruh untuk kawalan kualiti dan pemantauan bahan api.
- Penanda aras dengan United Kingdom dan Australia merangkumi pengujian makmal bertauliah, penguatkuasaan standard gred, program pemantauan serta ketelusan laporan kepada pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu diambil bagi memperkukuh kawalan kualiti bahan api susulan aduan pengguna berhubung dakwaan pencemaran petrol RON95 yang menyebabkan kerosakan enjin kenderaan.
Beliau berkata, kejadian pencemaran tersebut mungkin berlaku dalam tempoh tertentu dan setakat ini belum ada keputusan konklusif yang menunjukkan isu berkenaan melibatkan keseluruhan rantaian bekalan.
“Penyelarasan perlu dilakukan namun, kerajaan turut melihat keperluan mewujudkan kerangka yang lebih menyeluruh.
“Kerajaan juga melaksanakan penanda aras dengan beberapa negara seperti United Kingdom dan Australia meliputi aspek pengujian makmal bertauliah, penguatkuasaan standard gred bahan api, program pemantauan bahan api serta ketelusan laporan kepada pengguna,” katanya.
Datuk Armizan turut meminta pengguna atau pemilik kenderaan yang tidak berpuas hati dengan jumlah bayaran yang ditawarkan syarikat minyak berkenaan, boleh mengemukakan aduan menerusi saluran yang disediakan selain, mengambil tindakan sivil atau merujuk tuntutan berkenaan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berhubung amalan terbaik (best practice) bagi memastikan integriti rantaian bekalan bahan api pada tahap terbaik di Dewan Rakyat.