Pemandu langgar lari anggota polis trafik ditahan

Suspek ditahan selepas merempuh kenderaan lain semasa dikejar polis pada Isnin/Foto: orang awam di Facebook

KUALA LUMPUR, 14 April- Polis menahan pemandu yang disyaki terlibat dalam insiden langgar lari seorang anggota polis trafik di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini pada Jumaat lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek merupakan pegawai kanan polis berpangkat Inspektor, sedang cuti perubatan khas dan dalam proses persaraan atas faktor kesihatan.
  • Hasil pemeriksaan tiada barangan menyalahi undang-undang; ujian pernafasan negatif; ujian saringan air kencing akan dijalankan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan; tujuh laporan polis diterima.
  • Konstabel trafik berusia 27 tahun cedera, dihantar ke HKL; pemandu melarikan diri ke arah PULAPOL selepas insiden.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan suspek ditahan pada Isnin selepas anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berjaya mengesan kenderaan suspek di  Jalan Cheras sekitar pukul 3.45 petang.

“Suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun akhirnya berjaya ditahan dengan bantuan Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan Brickfields.

“Siasatan lanjut mendapati suspek merupakan seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor yang kini sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses persaraan atas faktor kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Datuk Fadil berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang barangan menyalahi undang-undang ditemukan pada suspek atau kenderaannya, manakala ujian pernafasan alkohol adalah negatif.

“Suspek bagaimanapun akan menjalani ujian saringan air kencing bagi melengkapkan siasatan,” tambah beliau.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Menurut Datuk Fadil, tujuh laporan polis diterima melibatkan lima kereta awam, sebuah MPV polis dan sebuah motosikal milik pegawai polis.

Tangkap layar video tular cubaan suspek melarikan diri

“Sepanjang operasi, anggota polis membuka laluan bagi mengelakkan kemalangan lebih serius selain mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan sebuah kenderaan cuba melarikan diri sehingga merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda semasa dikejar anggota polis trafik berkenaan.

Dalam kejadian pada 10.47 malam Jumaat lepas, seorang anggota polis trafik berpangkat Konstabel berusia 27 tahun cedera selepas dilanggar kenderaan terbabit dari arah belakang semasa sedang menjalankan tugas kawalan lalu lintas di persimpangan jalan berkenaan.

Pemandu kereta tersebut kemudian bertindak melarikan diri menghala ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur tanpa berhenti bagi memberikan bantuan kepada mangsa.

Mangsa yang mengalami luka di tapak tangan kanan dan belakang kepala serta sakit pada bahagian rusuk dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).