
KUANTAN, 14 April – Seorang jurujual di sebuah syarikat swasta terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM427,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud dikenali “Growth Investment”.
- Individu tidak dikenali menghubungi mangsa melalui WhatsApp pada 17 Disember, menawarkan pulangan 10 peratus dalam masa 30 minit.
- Mangsa dimasukkan ke kumpulan WhatsApp, diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan melalui pautan dan mendaftar sebagai ahli.
- Mangsa melakukan 11 kali transaksi pemindahan wang ke dua akaun antara 10 Februari hingga 3 April; hanya menerima keuntungan awal RM23,000 sekali.
- Polis menyiasat bawah Seksyen 420; orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan semak nombor akaun melalui portal Semak Mule sebelum transaksi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sri Yahaya Othman menerusi satu kenyataan memaklumkan, lelaki berusia 44 tahun itu awalnya dihubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Disember tahun lalu, yang menawarkan peluang pelaburan dengan keuntungan 10 peratus dalam tempoh hanya 30 minit.
“Mangsa telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum diarahkan untuk memuat turun aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan serta mendaftar sebagai ahli.
“Akibat terpedaya, mangsa telah menggunakan wang simpanan serta hasil jualan tanah untuk membuat 11 kali transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank berbeza dalam tempoh 10 Februari hingga 3 April lalu,” menurut kenyataan itu.
Namun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila hanya menerima keuntungan sekali sahaja pada peringkat awal pelaburan berjumlah RM23,000. Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Datuk Sri Yahaya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat. Selain, disarankan untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui portal Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi.