Lelaki Pakistan didenda RM10,000 buang sampah secara haram

Foto hiasan

AYER KEROH, 15 April – Seorang lelaki warganegara Pakistan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka selepas mengaku bersalah membuang sampah secara haram.

RINGKASAN BERITA AI
  • Shah Sardar mengaku melonggok sisa pepejal isi rumah di tanah kerajaan di Mukim Batu Berendam pada 27 Februari 2024.
  • SWCorp menerima video aduan pada 1 Mac 2024, menunjukkan individu membuang katil dan tilam; penguat kuasa menemui longgokan sisa.
  • Operasi di premis FD Feroz Khan Enterprise menyita sebuah lori Vanette; siasatan mendapati sisa diperoleh dari Taman Ozana Residence.

Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu terhadap Shah Sardar selepas tertuduh mengaku melakukan perbuatan melonggokkan sisa pepejal isi rumah di tanah kerajaan di Mukim Batu Berendam pada 27 Februari 2024.

Perbuatan itu dikesan selepas Penguat Kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menerima satu video aduan awam pada 1 Mac 2024, menunjukkan seorang individu membuang katil dan tilam lama di kawasan berkenaan.

Pemeriksaan penguat kuasa kemudiannya menemui longgokan sisa tersebut.

Pada hari sama, Penguat Kuasa SWCorp menjalankan operasi di sebuah premis perniagaan perabot, FD Feroz Khan Enterprise dan menyita sebuah lori Nissan Vanette yang disyaki digunakan untuk kegiatan pembuangan haram itu.

Siasatan mendapati Shah Sardar, pekerja syarikat terbabit, memperoleh sisa pepejal itu daripada sebuah rumah kediaman di Taman Ozana Residence sebelum melonggokkannya di lokasi tidak dibenarkan yang bukan merupakan tapak pelupusan sah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 di bawah Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.