Bekas Pengarah IPTA direman, disyaki seleweng RM1 Juta

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 15 April – Seorang bekas pengarah pusat pendidikan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bergelar Datuk ditahan reman kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan wang berjumlah kira-kira RM1 juta bagi tujuan peribadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah reman lima hari sehingga 19 April 2026 dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan SPRM.
  • Siasatan awal mendapati salah laku berlaku antara 2023 hingga 2025 ketika suspek menjawat jawatan pengarah pusat pendidikan.
  • SPRM membekukan empat akaun bank satu syarikat dan tiga individu bernilai kira-kira RM600,000; kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Perintah reman selama lima hari sehingga 19 April 2026 terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia 60-an itu telah ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2025 dan ketika itu dia menjawat jawatan sebagai Pengarah IPTA terbabit.

“Suspek dipercayai mempunyai kepentingan di dalam sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan pusat pendidikan terbabit dan menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Susulan daripada siasatan tersebut, SPRM juga membekukan empat akaun bank iaitu satu akaun syarikat dan tiga akaun individu berjumlah keseluruhan kira-kira RM600,000.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, menjurus kepada siasatan jenayah dan tatakelola.