
KUALA LUMPUR, 16 April – Seorang individu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang berhubung kes penyebaran berita palsu berkait kenaikan harga bahan api susulan krisis tenaga akibat konflik di Asia Barat.
- Keputusan mendakwa dibuat Jabatan Peguam Negara selepas meneliti 12 kertas siasatan yang dikemukakan MCMC.
- Lima individu lain akan dikompaun; jumlah kompaun boleh mencecah sehingga RM250,000.
- MCMC mengesan 441 kandungan palsu antara 29 Mac hingga 15 April; 54 kertas siasatan dibuka.
- Sebahagian besar kandungan palsu berkaitan krisis tenaga dan dakwaan kenaikan harga bahan api; masyarakat dinasihatkan mengamalkan Tabayyun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mendedahkan, keputusan mendakwa individu itu dibuat Jabatan Peguam Negara selepas meneliti 12 kertas siasatan yang dikemuka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Ada lima individu lain akan dikompaun. Saya nak ingatkan bahawa kompaun boleh mencecah sehingga RM250,000.
“Saya kesal kerana kebanyakan berita palsu itu meniru format bahan media rasmi,” tegasnya.
Beliau menyatakan perkara itu dalam program bicarawara terbitan Bernama TV pada Rabu.
Jelasnya lagi, sejak 29 Mac hingga 15 April, 441 kandungan berita palsu dikesan MCMC dan kesemuanya sedang dalam proses untuk diturunkan.
Sebanyak 54 kertas siasatan dibuka dalam tempoh berkenaan.
“Sebahagian besar kandungan ini melibatkan dakwaan tidak benar berkaitan isu krisis tenaga global termasuk maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api seperti diesel, RON95 dan RON97,” jelasnya.
Program itu turut mengundang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan sebagai tetamu jemputan.
Dr. Zulkifli menasihati masyarakat agar sentiasa mengamalkan konsep Tabayyun, iaitu menyemak dan meneliti kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu, bukan sekadar menerima lalu terus menyebarkannya.