Lelaki ditahan rendam anak anjing di Shah Alam

Kes disiasat bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan

SHAH ALAM, 16 April – Seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditahan kerana melakukan penganiayaan terhadap haiwan dengan merendam seekor anak anjing ke dalam sebuah tangki berisi air di Seksyen 32 di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan di tapak pembinaan pada pukul 3.40 petang selepas laporan orang awam mengenai video di TikTok.
  • Tiga ekor anjing dirampas dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor untuk tindakan lanjut.
  • Kes disiasat bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
  • Orang awam yang mempunyai maklumat boleh hubungi Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ramsay Embol berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan di sebuah tapak pembinaan pada pukul 3.40 petang, selepas pihak polis menerima laporan orang awam yang melihat video insiden berkenaan di platform media sosial, TikTok.

“Semasa tangkapan dibuat, tiga ekor anjing turut dirampas dengan bantuan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan insiden itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand Rayne melalui talian 014-6907071.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 22 saat memaparkan seorang lelaki bertindak merendam seekor anak anjing ke dalam sebuah tangki berisi air.