Kes bunuh OKU lembam, majikan direman seminggu


BACHOK, 16 April Majikan kepada seorang lelaki kurang upaya (OKU) lembam direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan remaja tersebut di Kampung Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek, seorang kontraktor pemasangan jubin berusia 52 tahun, direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302.
  • Mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, merupakan OKU lembam dan pekerja pemasang jubin kepada suspek.
  • Mangsa ditemui berlumuran darah dengan kecederaan parah pada kepala dan meninggal dunia di hospital.

Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 22 April dikeluarkan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid terhadap kontraktor pemasangan jubin berusia 52 tahun.

Tahanan reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, suspek tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Bachok dengan menaiki trak polis kira-kira pukul 9:32 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, suspek ditahan di sekitar daerah Bachok pada Rabu.

“Lelaki terbabit merupakan majikan kepada mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20-tahun.

Mangsa bekerja sebagai pemasang jubin dengan suspek,” katanya.

Pada Rabu, media melaporkan, seorang lelaki OKU lembam meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dipercayai dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, Bachok.

Mangsa ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah pada muka dalam keadaan masih bernyawa pada pukul 7:30 pagi sebelum meninggal dunia di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian kira-kira pukul 12:55 tengah malam Rabu.