Lebih 13,000 Rohingya dianggar berada di Kelantan

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 15 Jun – Polis menganggarkan lebih 13,000 warga Rohingya berada di Kelantan ketika ini, dengan pergerakan dan penempatan mereka sentiasa dipantau melalui Cawangan Khas, bagi memastikan keadaan keselamatan negeri kekal terkawal.

RINGKASAN BERITA AI
  • 5,373 warga Rohingya direkodkan memiliki kad UNHCR; kira-kira 8,000 lagi dianggarkan tiada dokumen.
  • Komuniti Rohingya tidak ditempatkan di pusat khas, sebaliknya tinggal berselerak di kawasan seperti Kota Bharu, Ketereh dan Pasir Mas.
  • Polis catat 412 kes melibatkan 825 tangkapan (Jan-Mei); kes imigresen tertinggi, sedikit kes jenayah berat direkodkan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata setakat ini, sebanyak 5,373 etnik Rohingya di negeri itu direkodkan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala kira-kira 8,000 lagi dianggarkan tidak memiliki dokumen berkenaan.

Beliau berkata komuniti itu tidak ditempatkan di mana-mana pusat penempatan khas, sebaliknya tinggal secara berselerak dalam komuniti setempat terutama di Kota Bharu, Padang Siam di Tanah Merah, Ketereh, Bunut Susu di Pasir Mas dan Pasir Puteh.

“Pihak Cawangan Khas kita sentiasa memantau pergerakan mereka. Kita kenal mereka berada di kawasan mana dan berapa jumlahnya di sesuatu lokasi. Kebanyakan mereka yang memiliki kad UNHCR, bebas tinggal di mana-mana,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, polis merekodkan 412 kes melibatkan 825 tangkapan warga Rohingya, berbanding 277 kes dengan 723 tangkapan sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kesalahan imigresen mencatatkan angka tertinggi dengan 384 kes melibatkan 789 tangkapan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, berbanding 215 kes dan 637 tangkapan sepanjang 2025.

Selain itu, sebanyak 16 kes melibatkan 21 tangkapan direkodkan bagi kesalahan penyeludupan migran, manakala lapan kes membabitkan lapan tangkapan bagi jenayah harta benda seperti curi, pecah rumah dan pencerobohan.

“Bagi jenayah kekerasan pula, empat kes melibatkan tujuh tangkapan direkodkan. Setakat ini tiada kes jenayah berat membabitkan komuniti Rohingya di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan tangkapan melibatkan cubaan memasuki Malaysia secara tidak sah melalui sempadan, selain operasi yang dijalankan di kawasan penempatan mereka di negeri ini.

Mengulas kebimbangan awam mengenai kewujudan “Mini Dhaka” atau penguasaan sesuatu kawasan oleh warga asing seperti yang berlaku di beberapa lokasi di luar Kelantan, Mohd Yusoff berkata situasi di negeri ini masih terkawal.

Beliau berkata setakat ini polis tidak menerima laporan penduduk tempatan yang resah dengan kehadiran komuniti Rohingya, kerana kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh binaan, pekerja kebun dan melakukan kerja-kerja berat yang kurang mendapat sambutan dalam kalangan penduduk tempatan.

“Setakat ini tiada laporan penduduk setempat merungut atau resah. Mereka lebih banyak melakukan kerja-kerja berat dan mengambil upah untuk menyara kehidupan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata berdasarkan pemantauan polis, Malaysia terus menjadi destinasi pilihan warga Rohingya kerana faktor keluarga, peluang pekerjaan dan kewujudan komuniti mereka yang telah lama menetap di negara ini.

Beliau berkata pihak polis juga mempunyai aplikasi khas bagi menyemak ketulenan kad UNHCR yang dikemukakan oleh warga asing, bagi mengelakkan penggunaan dokumen palsu ketika pemeriksaan dijalankan.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pelarian Rohingya di negara ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan tempatan atau berdepan tindakan tegas.

Beliau dilapor berkata walaupun Malaysia mengambil pendekatan berperikemanusiaan, golongan itu tetap tertakluk kepada sistem perundangan negara termasuk dalam aspek penggunaan premis bangunan dan pengendalian perniagaan.-BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.