Lapan kawasan di Sarawak catat IPU tidak sihat, JAS tingkat tindakan penguatkuasaan

Jerebu dengan IPU tidak sihat melanda beberapa kawasan di Sarawak sejak akhir bulan lalu./ Foto fail RTM

KUCHING, 19 Ogos – Lapan kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kategori tidak sihat setakat 7 malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kualiti udara merosot akibat pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah, menurut Jabatan Alam Sekitar.
  • ASMC mengesan 1,079 titik panas di Kalimantan, 20 di Sumatera dan lapan titik panas dalam negara.
  • JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan, rondaan harian dan pemantauan bacaan IPU secara berkala.
  • Pelan tindakan pembakaran terbuka dan jerebu diaktifkan; orang ramai dilarang membakar dan diminta lapor ke Bomba 999 atau JAS 1-800-88-2727.

Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPD Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 166, diikuti Sri Aman (163) dan Kuching (162).

Turut merekodkan bacaan pada kategori tidak sihat ialah Mukah dan Samarahan, masing-masing dengan IPU 152, Sibu (151), Bintulu (126) dan Sarikei (120).

Negeri Sarawak merekodkan turun naik jumlah kawasan dilanda jerebu dengan IPU kategori tidak sihat sejak akhir bulan lalu, susulan pelbagai faktor termasuk jerebu rentas sempadan iaitu kebakaran hutan dan tanah akibat cuaca kering dan panas melampau di negara jiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan kawasan di Sarawak yang disebabkan oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Menurutnya, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, sebanyak 1,079 titik panas dikesan di Kalimantan, 20 di Sumatera dan lapan titik panas di dalam negara, iaitu tiga di Sabah dan lima di Sarawak.

“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat menerusi talian 999 atau JAS (1-800-88-2727).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.