
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pemandu sebuah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, di ibu negara awal pagi tadi ditahan bagi membantu siasatan.
- Permohonan reman terhadap individu terbabit akan dibuat hari ini.
- Beberapa rakaman CCTV dari lokasi diperoleh dan sedang diteliti untuk mendapatkan gambaran kejadian.
- Usaha mendapatkan rakaman setiap sudut kerana Kuala Lumpur dilengkapi CCTV yang banyak.
- Kesemua mangsa dipercayai berada di persimpangan lampu isyarat untuk menyeberang sebelum kemalangan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata permohonan reman terhadap individu terbabit akan dilakukan hari ini selain meneliti beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran mengenai insiden tersebut.
“Kita dalam proses mendapatkan CCTV dan ada yang kita telah perolehi. Kita cuba dapatkan setiap sudut sebab di Kuala Lumpur ini dilengkapi dengan CCTV yang cukup.
“Saya rasa memadai untuk dapatkan gambaran sesuatu keadaan kejadian daripada setiap penjuru,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di ibu negara.
Kesemua mangsa dipercayai berada di kawasan selamat iaitu persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail untuk melintas jalan sebelum kemalangan berkenaan berlaku.