
JOHOR BAHRU, 9 September – Polis Johor menahan lapan ahli sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan memecah cermin kereta dan mencuri barangan dalam kenderaan dalam dua siri serbuan bermula 2 September hingga semalam.
- Suspek terdiri empat lelaki tempatan serta dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia, berusia antara 26 hingga 60 tahun.
- Sindiket dipercayai aktif sejak Ogos, bergerak dua kumpulan, menyasarkan kenderaan diparkir di kawasan terbuka dan lokasi sunyi terutama tepi jalan.
- Polis menyelesaikan 17 kes pecah cermin dan curi barang dalam kenderaan di beberapa daerah termasuk Kota Tinggi dan Johor Bahru.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan; semua suspek direman empat hari dan polis masih mengesan ahli sindiket bebas.
Kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan serta dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia, berusia antara 26 hingga 60 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak Ogos lalu dan bergerak dalam dua kumpulan.
Menurutnya, kumpulan berkenaan menyasarkan kenderaan yang diparkir di kawasan terbuka dan lokasi sunyi, terutama di tepi jalan.
“Barangan yang dicuri kemudiannya dijual bagi mendapatkan wang.
“Dengan tertangkapnya kesemua suspek, Polis Johor telah menyelesaikan sebanyak 17 kes pecah cermin kereta dan curi barang dalam motokar yang berlaku di negeri Johor, melibatkan tujuh kes di Kota Tinggi, dua kes di Johor Bahru Selatan, tiga kes di Johor Bahru Utara, tiga kes di Iskandar Puteri dan dua kes di Muar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 September bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Polis Johor masih giat mengesan baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan, selain memilih lokasi parkir yang lebih selamat dan mempunyai pencahayaan mencukupi bagi mengelak menjadi sasaran penjenayah.