
GERIK, 9 September – Tiga individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah jentera jengkaut yang dilaporkan hilang di Kampung Sumpitan, Lenggong.
- Suspek berusia antara 29 hingga 66 tahun.
- Tangkapan dibuat sekitar 10.00 pagi dan 4.35 petang hasil operasi D4 IPK Perak bersama IPD Gerik.
- Polis merampas jentera jengkaut Mitsubishi ES110 dan sebuah telefon bimbit.
- Siasatan: suspek pertama terlibat, kedua pengusaha alat ganti jentera berat, ketiga membawa jengkaut ke Ipoh menggunakan lori.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, kesemua suspek berusia antara 29 hingga 66 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Ipoh dan Gerik, semalam.
Menurutnya, tangkapan dilakukan pada kira-kira pukul 10 pagi dan 4.35 petang hasil operasi Bahagian D4, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.
“Polis turut merampas sebuah jentera jengkaut jenis Mitsubishi ES110 dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Samad berkata, siasatan awal mendapati suspek pertama dipercayai terlibat dalam kejadian itu, manakala suspek kedua merupakan pengusaha alat ganti jentera berat.
Suspek ketiga pula dipercayai diminta membawa jentera berkenaan ke Ipoh menggunakan sebuah lori.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.