
IPOH, 9 September – Sebelas individu termasuk enam anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan.
- Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Norizan Riduan selepas permohonan SPRM.
- Suspek dibenarkan direman sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
- Siasatan diteruskan untuk mengenal pasti modus operandi dan peranan setiap individu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Norizan Riduan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 40 tahun dibenarkan direman bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek terdiri daripada empat ejen dan enam anggota JPJ yang ditahan kira-kira pukul 10 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Mereka tiba di Mahkamah Majistret Ipoh pada kira-kira pukul 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM sebelum dibawa keluar sekitar pukul 11 pagi.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi serta peranan setiap individu yang terlibat dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan berkenaan.