
KUANTAN, 15 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah berjaya mengesan sebuah syarikat memiliki barang kawalan tanpa permit sah iaitu penyimpanan minyak diesel dalam kuantiti besar di sebuah tapak pembinaan di Mukim Penor, di sini pada Selasa lalu.
- KPDN Pahang menyita 14,870 liter minyak diesel dalam sebuah skid tank hasil tindakan Ops Tiris 4.0 selepas aduan orang awam.
- Minyak diesel dipercayai digunakan untuk operasi jentera pembinaan, tetapi syarikat gagal kemuka permit penyimpanan sah di lokasi berkenaan.
- Aset termasuk minyak dan peralatan disita di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961; kes disiasat untuk tindakan perundangan.
- KPDN mengingatkan semua pihak patuhi syarat permit, elak penyalahgunaan subsidi; tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Pahang, Md Zaki Abd Samad berkata bertindak atas aduan orang awam di bawah pemeriksaan Ops Tiris 4.0, pasukannya telah menyita sebanyak 14,870 liter minyak diesel di dalam sebuah skid tank.
“Hasil siasatan awal mendapati minyak diesel tersebut dipercayai digunakan untuk operasi jentera pembinaan.
“Walau bagaimanapun, pihak syarikat gagal mengemukakan permit penyimpanan yang sah bagi lokasi berkenaan meskipun memiliki permit di lokasi lain,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, KPDN Pahang telah mengambil tindakan tegas dengan menyita minyak diesel serta peralatan lain di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 [Akta 122] dan kes masih dalam siasatan lanjut bagi tindakan perundangan seterusnya.
KPDN Pahang juga memberi amaran terhadap mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
Md Zaki berkata KPDN Pahang turut menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya syarat permit dan lesen yang ditetapkan serta tidak menyalahgunakan kemudahan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan.
Tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan barang kawalan.