Kes pertama akta 672: Wanita Indonesia didenda, jalani khidmat masyarakat

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 23 Januari – Seorang wanita warga Indonesia didenda RM500 dan diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama enam jam dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuang sisa pepejal di tempat awam.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Nor Aziati Jaafar selepas orang kena saman (OKS), Anita Lukman, 49 tahun, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, ibu tunggal itu didakwa membuang puntung rokok dan botol minuman di tempat awam dan bukan ke dalam bekas yang diperuntukkan bagi tujuan pelupusan sisa pepejal.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 12.41 tengah malam di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, di sini pada 1 Januari lepas.

Tertuduh, Anita lukman (tengah) berjalan menuju kamar bicara/RTM

Dalam prosiding sama, seorang lelaki warga Bangladesh, Sultan MD, 28 tahun, turut didakwa atas pertuduhan serupa iaitu membuang puntung rokok pada pukul 1.27 pagi di lokasi dan hari yang sama. namun tiada pengakuan direkodkan.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadapnya akan dibacakan semula pada 28 Januari depan kerana memerlukan khidmat jurubahasa Bangladesh.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memperuntukkan hukuman di bawah Subseksyen 77A(2), selain membolehkan mahkamah mengenakan perintah khidmat masyarakat mengikut Subseksyen 77B(1) akta yang sama.

Kedua-dua kes berkenaan merupakan kes pertama di negara ini yang didakwa mengikut peruntukan akta tersebut sejak ia dikuatkuasakan awal tahun ini.