
KULAI, 23 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan sebanyak 242,451 notis sepanjang tahun lalu hasil pemeriksaan terhadap 495,779 kenderaan di seluruh negeri.
- 114,153 kenderaan diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
- Kesalahan terbanyak melibatkan LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans, mencatat 62,608 kes.
- Operasi PeWA ambil tindakan ke atas 459 warga asing; 42% daripadanya warga Pakistan.
- JPJ Johor akan mempergiat operasi penguatkuasaan untuk tingkatkan pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya.
Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin, berkata daripada jumlah itu, 114,153 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Menurut beliau, kesalahan tertinggi direkodkan melibatkan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans, dengan 62,608 kes dicatatkan.
Selain itu, sebanyak 9,575 kesalahan direkodkan melibatkan kenderaan lebih muatan, manakala 2,075 kenderaan telah disita dalam tempoh yang sama.
Dalam perkembangan berkaitan, Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan bermula 1 Januari lalu hingga tengah hari ini, seramai 459 warga asing telah diambil tindakan dengan 42 peratus daripadanya merupakan warga Pakistan.
Sebanyak 720 notis dikeluarkan dalam operasi tersebut dan 235 kenderaan disita.

“Untuk kesalahan direkodkan, kesalahan paling tinggi direkodkan pertamanya tiada lesen memandu, iaitu berjumlah 325 individu.
“Keduanya merupakan kesalahan yang melibatkan LKM atau cukai jalan sebanyak 202 kes dan yang ketiga, tiada perlindungan insurans iaitu 185 kes”, katanya di sini.
Ujarnya, JPJ Johor akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya di negeri ini.