
SHAH ALAM, 11 Ogos – Polis sedang menyiasat kemungkinan kewujudan ‘orang dalam’ yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa susulan penahanan seorang pembantu juruterbang Malaysia di Indonesia baru-baru ini.
- Individu dikenalpasti telah dipanggil dan disoal siasat; polis masih memerlukan keterangan dan bukti kukuh.
- Empat pegawai JSJN dihantar ke Jakarta untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam siasatan.
- Kerjasama menumpukan usaha mengesan rangkaian sindiket antarabangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kes itu telah dipanggil dan disoal siasat, namun polis masih memerlukan keterangan lanjut sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
“Polis tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan pihak lain, termasuk ‘orang dalam’, namun perkara itu perlu dibuktikan menerusi keterangan dan bukti yang kukuh,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, empat pegawai JSJN telah tiba di Jakarta pagi ini bagi bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam siasatan kes berkenaan.
Hussein berkata pegawai terbabit dijadual menemui dan menemu bual pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu pada 12 dan 13 Ogos bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci berkaitan sindiket berkenaan.
“Kami diberi ruang untuk berjumpa dengan warganegara Malaysia itu pada 12 dan 13 Ogos untuk temu bual bagi mendapatkan lebih banyak maklumat dan membandingkan nota yang kami dapat di sini dari segi sindiket dan sebagainya.
“Kami juga akan mendapatkan beberapa perkara lain yang ada kaitan dengan kes itu supaya maklumat yang diperoleh lebih banyak dan tepat daripada dia,” katanya pada sidang media mengenai kejayaan JSJN menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia turut memberi tumpuan kepada usaha mengesan rangkaian sindiket antarabangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan pembantu juruterbang berkenaan ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25 kilogram dadah.