MCMC siasat kandungan berkaitan institusi diraja

Satu unit telefon bimbit serta eSIM telah disita

KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan berhubung kandungan dimuat naik menerusi platform Threads yang disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kandungan didakwa menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
  • MCMC merakam percakapan individu di Balai Polis Labu; satu telefon bimbit dan eSIM disita untuk analisis forensik.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; MCMC sedia bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan.

Menerusi kenyataan, MCMC menyatakan kandungan berkenaan menyentuh isu berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Sebagai sebahagian proses siasatan, MCMC telah merakam percakapan seorang individu di Balai Polis Labu bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti fakta berkaitan.

“Satu unit telefon bimbit serta eSIM telah disita bagi tujuan analisis forensik,”menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

MCMC turut meneliti aspek penyebaran kandungan melalui platform media sosial dan sedia bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan sekiranya terdapat unsur kesalahan lain yang memerlukan tindakan di bawah undang-undang berkuat kuasa.

“MCMC menegaskan kebebasan bersuara hendaklah dilaksana secara bertanggungjawab, berlandaskan undang-undang serta menghormati institusi diraja.

“Sebarang tindakan penguatkuasaan bakal dilaksana berdasarkan fakta, bukti dan proses perundangan yang sewajarnya,”menurut kenyataan itu lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.