
KLANG, 18 Oktober – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan 25 tahun baginda di Istana Alam Shah di sini, pada Ahad.
- Perhubungan mesra Sultan dengan rakyat memberi pengalaman bermakna dan mengeratkan hubungan antara institusi diraja dan masyarakat.
- Titah Jubli Perak menekankan integriti, ketelusan kewangan, kelestarian alam serta tindakan tegas terhadap rasuah dan penyelewengan.
- Kerajaan negeri diarahkan memperbaiki perkhidmatan awam, fokus penyelesaian masalah, pemerkasaan pendigitalan dan pembangunan seimbang demi kesejahteraan rakyat.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan isteri baginda Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 3,000 rakyat daripada pelbagai latar belakang merangkumi empat daerah, iaitu Petaling, Klang, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.
Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan beramah mesra, bersalaman serta bergambar bersama rakyat yang hadir.
Bagi K. Thilaga, peluang bersemuka secara dekat dengan Sultan Selangor menjadi pengalaman bermakna, sempena sambutan 25 tahun pemerintahan baginda.
“Saya sangat gembira dan seronok. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuanku Sultan Selangor kerana mengadakan jamuan minum petang.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berterima kasih dan berasa sangat gembira kerana dapat bersemuka dengan Tuanku,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Adli Zulkefli menyifatkan jemputan menghadiri majlis berkenaan sebagai pengalaman pertama, selain berpeluang bertemu secara dekat dengan keluarga diraja.
“Perasaan saya semestinya teruja kerana ini kali pertama saya dijemput ke majlis sebesar ini. Saya rasa ini mungkin pengalaman sekali seumur hidup. Saya juga berasa bertuah kerana berpeluang bersalaman dengan Tuanku,” katanya.
Manakala Ng Hook An berkata, peluang beliau menjejakkan kaki ke Istana Alam Shah buat kali pertama pada usia 70 tahun merupakan detik yang membanggakan dan sukar dilupakan.
“Pada usia 70 tahun, ini merupakan kali pertama saya berpeluang menjejakkan kaki ke istana. Saya berasa amat bangga dan bersyukur atas peluang yang diberikan untuk menghadiri majlis ini.
“Pengalaman bersalaman dengan Tuanku serta merakam video dan mengambil gambar di istana pastinya bermakna buat saya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam sembah ucapannya berkata, sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Sharafuddin menjadi peringatan kepada seluruh jentera pentadbiran negeri untuk terus memperkukuh integriti, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memastikan setiap amanah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
“Apabila Tuanku bertitah mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang telus, kerajaan negeri terus mengetatkan tatakelola perolehan.
“Apabila Tuanku bertitah mengenai kelestarian alam sekitar, kerajaan negeri menyemak semula dasar perhutanan dan tebatan banjir.
“Apabila Tuanku dengan tegas mengingatkan tentang bahaya rasuah dan penyelewengan, ia menjadi tanggungjawab mutlak patik selaku Setiausaha Kerajaan Negeri, dan seluruh ketua jabatan, untuk memastikan tiada sebarang ketirisan wang rakyat berlaku di bumi Selangor ini,” katanya.
Tambahnya, setiap titah, pedoman dan teguran baginda, sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN), mesyuarat dewan diraja mahupun di mimbar masjid, dijadikan panduan dalam merangka dasar kerajaan negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam perlu beralih daripada budaya kerja yang hanya berteraskan proses kepada pendekatan yang mengutamakan penyelesaian masalah rakyat.
Usaha pendigitalan juga perlu diperkasakan tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan dalam penyampaian perkhidmatan.
Sambutan Jubli Perak tahun ini menandakan genap 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin sejak menaiki takhta pada 2001.
Tempoh itu menjadi asas untuk kerajaan negeri meneruskan pembangunan yang seimbang, memelihara keharmonian masyarakat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Selangor.