
KUANTAN, 18 Oktober – Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang dijangka dibentangkan di Parlimen pada mesyuarat pertama tahun depan.
- Draf RUU E-Dagang sedang diteliti dan ditambahbaik, melibatkan semakan bersama Jabatan Peguam Negara sebelum dimuktamadkan.
- KPDN berperanan sebagai pengantara rundingan antara usahawan dan platform untuk selesaikan isu, lindungi kepentingan penjual dan elak yuran pelesenan tinggi.
- Program Akses Peruncitan 2026 membuka peluang pasaran lebih luas kepada usahawan melalui latihan, padanan perniagaan dan kerjasama dengan rangkaian peruncitan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, draf awal RUU berkenaan kini dalam peringkat penelitian serta penambahbaikan sebelum dimuktamadkan untuk pembentangan.
“Draf RUU yang awal dah siap, tetapi ketika ini dia ada sedikit penambahan dan sedang ditambah baik. Insya-Allah akan disediakan dan siap pada mesyuarat yang pertama tahun 2027,”jelasnya.
Menurutnya, sementara menunggu pelaksanaan perundangan tersebut, KPDN terus memainkan peranan sebagai pengantara antara usahawan dengan pihak platform bagi menyelesaikan isu berkaitan secara rundingan.
“Pendekatan itu bertujuan memastikan kepentingan kedua-dua pihak terpelihara, termasuk mengelak penjual dan ejen berdepan bebanan yuran pelesenan yang terlalu tinggi.
Proses penambahbaikan draf turut melibatkan penelitian bersama Jabatan Peguam Negara bagi memastikan RUU berkenaan dapat dimuktamadkan sebelum dibentangkan,” tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program Akses Peruncitan 2026 di sini.
Program selama tiga hari itu melibatkan 153 peserta dan 13 pasar raya sekali gus membuka ruang kepada usahawan menembusi pasaran yang lebih luas.
Seramai 1,862 usahawan telah dibantu menerusi Program Akses Peruncitan bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026 dalam usaha memperluas pasaran produk tempatan.
Bagi tempoh sama, program itu berjaya membantu 552 unit penyimpanan stok (SKU) dan 103 jenama tempatan menembusi pasar raya serta rangkaian peruncitan utama negara.
Pencapaian tersebut merupakan hasil peningkatan keupayaan menerusi 38 siri latihan selain 21 siri padanan perniagaan yang menghimpunkan 889 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bersama 165 syarikat sektor peruncitan.