Kebakaran belukar Sarawak makin terkawal

Beberapa kawasan di Sarawak mengalami kebakaran/Foto RTM Sarawak

SIBU, 9 April — Operasi pemadaman kebakaran belukar di beberapa lokasi di Sarawak masih diteruskan dengan sebahagian kawasan berjaya dikawal setakat pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pulau Bruit: sembilan hektar terbakar; lapan hektar dipadam, satu hektar masih dalam tindakan.
  • Jalan Matu-Igan dan Bruan Tutus hampir terkawal; Matu-Igan 1.9 daripada 3 hektar dipadam, Bruan Tutus 3.5 daripada 4 hektar dipadam.
  • Jalan Sakam, Sarikei berjaya dipadam sepenuhnya; operasi ditamatkan jam 9.14 pagi, operasi aktif dihentikan sementara dan akan disambung semula.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, antara kawasan terlibat ialah Pulau Bruit, Matu-Igan, Sibu dan Sarikei yang melibatkan keluasan kebakaran berbeza.

Di Jalan Kampung Kut-Saai, Pulau Bruit, kebakaran yang memasuki hari keenam operasi melibatkan keluasan sembilan hektar dengan lapan hektar berjaya dipadam manakala satu hektar masih dalam tindakan.

Sementara itu, di Jalan Matu-Igan, kebakaran seluas tiga hektar yang memasuki hari ketiga operasi menyaksikan 1.9 hektar berjaya dipadam, manakala baki 1.1 hektar masih belum dipadam.

Di Jalan Bruan Tutus pula, kebakaran seluas empat hektar kini hampir terkawal apabila 3.5 hektar telah dipadam dan hanya berbaki 0.5 hektar.

Dalam perkembangan sama, kebakaran belukar di Jalan Sakam, Sarikei yang melibatkan keluasan empat hektar berjaya dipadam sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada pukul 9.14 pagi selepas pemantauan mendapati tiada lagi kebakaran.

Menurut JBPM, operasi yang masih aktif ditangguhkan sementara dan akan disambung semula bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya serta mengelakkan ia merebak ke kawasan berhampiran.