
KUANTAN, 10 Ogos – Empat nelayan warga Indonesia yang terselamat selepas kapal mereka hanyut selama enam hari sebelum karam di perairan Malaysia diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia, hari ini.
- Kapal KM Samudra Jaya Kelautan mengalami kerosakan enjin akibat laut bergelora dan ombak kuat.
- Kapal hanyut selama enam hari sebelum akhirnya karam di perairan Malaysia.
- Kru diselamatkan oleh sebuah kapal nelayan tempatan yang melintasi kawasan kejadian pada 8 Ogos dan dibawa ke jeti LKIM Kuantan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab merakamkan penghargaan kepada komuniti nelayan tempatan atas tindakan pantas membantu menyelamatkan kesemua mangsa.
“Kru yang terjejas menaiki KM Samudra Jaya Kelautan ketika dalam pelayaran dari Tarempa menuju Batam, Indonesia pada 2 Ogos.
“Kapal berkenaan berdepan laut bergelora dan ombak kuat yang mengakibatkan kerosakan enjin sebelum hanyut selama enam hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Kapal itu kemudian karam di perairan Malaysia sebelum kesemua kru diselamatkan sebuah kapal nelayan tempatan negeri ini yang kebetulan melintasi kawasan kejadian pada 8 Ogos.
Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan.