Sindiket culik guna tawaran kerja media sosial tumpas

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Tawaran pekerjaan melalui platform media sosial menjadi antara taktik digunakan sebuah sindiket penculikan yang berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek menemui mangsa di lapangan terbang dan mengurung mereka untuk menuntut wang tebusan daripada keluarga.
  • Keluarga menerima mesej suara tuntut tebusan satu juta dolar Singapura, dan video menunjukkan mangsa bergari serta cedera.
  • Enam suspek ditahan reman dalam operasi di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur; dua suspek maut ketika berbalas tembakan semasa operasi menyelamat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek akan menemui mangsa di lapangan terbang sebelum mengurung mangsa bagi mendapatkan wang tebusan daripada ahli keluarga.

“Pada 4 Ogos, kakak mangsa telah menerima satu pesanan suara yang memaklumkan mangsa telah diculik dan meminta wang tebusan sebanyak satu juta dolar Singapura.

“Satu video yang memaparkan mangsa dalam keadaan bergari serta kelihatan beberapa kecederaan fizikal turut dihantar,” katanya dalam satu sesi sidang media, hari ini.

Menurut Datuk M. Kumar, seorang wanita warga China lingkungan 30-an turut ditemui di lokasi sama.

“Suspek yang telah mengawal akaun bank mangsa menerima tiga transaksi pembayaran berjumlah 15,000 dolar Singapura melalui akaun bank tersebut.

“Manakala suspek meminta tebusan 20,000 dolar Amerika Syarikat daripada keluarga mangsa kedua namun sebarang pembayaran masih belum dibuat,” katanya.

Sindiket yang menyasarkan mangsa warga asing ini akan memindahkan mangsa dari rumah ke rumah bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Dalam operasi berasingan di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, enam orang suspek terdiri daripada seorang warganegara tempatan dan 5 warga China berjaya ditahan reman selama 7 hari mulai 8 Ogos 2026 sehingga 14 Ogos 2026.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Terdahulu, dua suspek warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamat dua mangsa tersebut di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.