Kastam Perak gempur sindiket arak haram, rampasan lebih RM300,000

Foto RTM

TELUK INTAN, 10 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan minuman keras dan bir menerusi dua serbuan berasingan di Banting, Selangor dan Taiping, Perak, bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan minuman keras tidak berkastam, nilai termasuk duti dan cukai dianggarkan melebihi RM313,000.
  • Serbuan pertama 17 Julai di Jalan Bunga Pekan, Banting; rampasan dianggarkan melebihi RM269,000, seorang lelaki 70 ditahan.
  • Serbuan kedua 20 Julai di sebuah premis kediaman Simpang, Taiping, menemui bir tidak berkastam, nilai duti dan cukai dianggarkan melebihi RM43,000.
  • Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; jika sabit boleh dihukum bawah Seksyen 135(1)(v)(aa).

Dalam operasi berkenaan, pelbagai produk minuman keras dipercayai tidak berkastam dirampas dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai dianggarkan melebihi RM313,000.

Pengarah Kastam Negeri Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, serbuan pertama dijalankan pada 17 Julai di sebuah premis di Jalan Bunga Pekan, Banting.

“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah minuman keras pelbagai jenama tidak berkastam, termasuk produk berlabel ‘Malaysia Duty Not Paid’ (MDNP) yang hanya dibenarkan dijual di kawasan bebas cukai, selain minuman keras yang menggunakan setem cukai disyaki palsu.

“Bagi kes tersebut, nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan melebihi RM269,000.

“Seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun yang dipercayai pemilik premis turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Dewan Sri Intan, Pejabat Kastam JKDM Teluk Intan, hari ini.

Sementara itu, pada 20 Julai, satu lagi serbuan dilakukan ke atas sebuah premis kediaman di Simpang, Taiping.

Pemeriksaan menemukan sejumlah bir pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam serta tidak dilekatkan setem cukai Kastam yang sah, dengan nilai keseluruhan duti dan cukai melebihi RM43,000.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama jika sabit kesalahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.