Tunggang motosikal lawan arus: Ibu maut, dua kanak-kanak cedera

Motosikal dipercayai ditunggang melawan arus sebelum terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah lori di Kemaman hari ini

KEMAMAN, 10 Ogos Seorang wanita maut manakala anak perempuan dan anak saudaranya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 123 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Pekan Kemasik, tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Polis Daerah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
  • Siasatan awal mendapati motosikal dipercayai menunggang melawan arus dan melanggar bahagian hadapan kiri sebuah lori.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 petang itu, mangsa, Mariana Mat Hassan, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Anak perempuan mangsa, Tuan Nur Aina Syifa Tuan Ab Rahman, 10, mengalami patah tangan dan kaki kiri, manakala anak saudara mangsa, Nur Alfira Miqaila Mohd Hilmi, 7, cedera pada tangan dan kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gong Cengal, Kemasik selepas menjemput kedua-dua kanak-kanak berkenaan dari Sekolah Kebangsaan Kemasik.

Mangsa dipercayai menunggang melawan arus sebelum gagal mengelak sebuah lori yang bergerak lurus di lorong kiri, lalu melanggar bahagian hadapan kiri kenderaan terbabit.

Pemandu lori, Samsuhaimi Johari, 40, dari Kampung Baru Seri Aman, Johor Bahru tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat, manakala kedua-dua kanak-kanak menerima rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.