Pekerja pembersihan dipenjara enam tahun kerana pemanduan berbahaya

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 10 Ogos – Seorang pekerja pembersihan di Singapura dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal. awal bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • T. Yuken, 25, mengaku bersalah memandu secara berbahaya yang mengakibatkan kematian Muhamad Isa Damiri.
  • Mahkamah perintahkan bayar pampasan RM4,000 kepada isteri mangsa; setahun penjara jika gagal membayar.
  • Tertuduh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun; lesen percubaan dibatalkan jika ada.
  • Didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; mahkamah tetapkan sebutan semula 10 Disember.

Tertuduh, T. Yuken, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini, hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda, selain membayar pampasan RM4,000 kepada isteri mangsa, Noor Adlin Roslan.

Tertuduh juga hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun, manakala lesen percubaan, jika ada, akan dibatalkan.

Mengikut kertas pertuduhan, T. Yuken didakwa memandu sebuah kereta secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Isa Damiri, 41 tahun, di Jalan Leong Bee, Gelang Patah, kira-kira pukul 4.20 pagi pada 6 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.

Mahkamah menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan semula bagi mengetahui status pembayaran pampasan RM4,000 kepada isteri mangsa dan akan menentukan perintah sewajarnya sekiranya bayaran itu gagal dibuat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.