
KOTA BHARU, 10 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 7,892 batang rokok disyaki tidak bercukai bernilai RM14,831.96 dan menahan seorang lelaki tempatan di Tumpat semalam.
- Pemeriksaan rumah menemukan 7,220 batang rokok putih disimpan dalam sebuah kotak di bilik pertama.
- Pemeriksaan lanjut di sebuah kedai di Pantai Geting menemui 672 batang rokok kretek dalam peti sejuk beku di garaj.
- Suspek menjual rokok tidak bercukai sejak 2025, mendapatkan bekalan melalui media sosial dengan penghantaran kenderaan kira-kira dua kali sebulan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor kira-kira 4 petang.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan 7,220 batang rokok putih yang disimpan dalam sebuah kotak di bilik pertama.
“Manakala, pemeriksaan lanjut di sebuah kedai di Pantai Geting turut menemukan 672 batang rokok kretek dalam beberapa bungkusan plastik di dalam peti sejuk beku di garaj,” katanya.
Beliau berkata, kesemua rokok berkenaan dipercayai untuk tujuan jualan.
“Siasatan awal mendapati suspek mula terlibat dalam penjualan rokok tidak bercukai sejak 2025 dan mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki menerusi media sosial,” katanya.
Menurutnya, suspek dipercayai menghubungi pembekal berkenaan kira-kira dua kali sebulan untuk mendapatkan bekalan rokok yang dihantar menggunakan kenderaan.
Kesemua rampasan dan suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tumpat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.