
MUAR, 22 Mac – Tiga sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan motosikal di Jalan Tekek-Juara, Pulau Tioman, Pahang pada Jumaat lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di sini 12.15 tengah malam tadi.
- Van jenazah tiba di Surau Ar-Rahman, Bakri kira-kira 10.45 malam; jenazah disolatkan oleh jemaah dan keluarga.
- Kejadian kira-kira 4 petang, motosikal dari arah air terjun Kampung Juara ke resort hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan kiri.
- Ketua polis mengesahkan suami maut akibat kecederaan parah di kepala; isteri dan anak meninggal ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Tekek.
Van membawa jenazah Mohd Sabri Ja’afar, 42, isterinya Siti Aisyah Suhaime, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Yusuf Abdurrahman Mohd Sabri, 5, tiba di Surau Ar-Rahman, Bakri di sini, kira-kira 10.45 malam sebelum disolatkan jemaah surau dan ahli keluarga yang hadir.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang Jumaat, motosikal ditunggangi tiga sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari arah air terjun Kampung Juara menghala ke sebuah resort penginapan sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi dilaporkan berkata Mohd Sabri yang juga Pegawai Khidmat Pelanggan di Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala isteri dan anaknya pula meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Tekek dengan kecederaan sama.
Beliau berkata lokasi kejadian merupakan kawasan jalan curam berbukit dan tidak rata. – BERNAMA