
SUNGAI PETANI, 14 Julai – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan aktiviti pelupusan sampah domestik secara haram di sebuah lot tanah berhampiran Bukit Banyan, Sungai Petani pada 12 Julai lalu.
- Tapak tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.
- Kawasan sekitar 250 meter persegi ditimbus sampah domestik dan dikesan pembakaran menghasilkan asap.
- JAS mengambil sampel sisa pepejal untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 29A(1) dan 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; dirujuk kepada SWCorp.
Aktiviti itu dipercayai dilakukan oleh kontraktor yang mengutip sampah domestik dari kawasan perindustrian di Kuala Muda.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, siasatan hasil aduan awam mendapati tapak pelupusan itu tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.
“Pemeriksaan mendapati kawasan seluas kira-kira 250 meter persegi itu telah ditimbus dengan sampah domestik atau sisa pepejal.
“Turut dikesan asap di kawasan tapak pelupusan yang dipercayai berpunca daripada pembakaran oleh pihak tidak bertanggungjawab, berkemungkinan bagi melupuskan sisa pepejal atau mendapatkan logam berharga,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, JAS Kedah telah mengambil sampel sisa pepejal untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis makmal.
Katanya, pelupusan sampah domestik atau sisa pepejal di kawasan yang tidak dibenarkan boleh menyebabkan pencemaran air dan tanah selain memberi kesan kepada alam sekitar, kesihatan awam serta keseimbangan ekosistem.
Kes disiasat mengikut Seksyen 29A(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana membenarkan aktiviti pembakaran terbuka, selain Seksyen 34A(6) akta sama kerana menjalankan aktiviti kitar semula sisa pepejal tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
JAS turut merujuk kes itu kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk tindakan penguatkuasaan serta pemantauan lanjut.