Penganggur didakwa miliki senjata api dan 6,000 peluru

Foto RTM

SERI MANJUNG, 14 Julai – Seorang lelaki menganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seri Manjung hari ini atas tiga pertuduhan memiliki senjata api, senapang angin serta peluru tanpa lesen yang sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes didakwa berlaku di pondok kayu belakang rumah di Kampung Cina, Sitiawan antara pukul 10.00 dan 10.30 malam pada 1 Julai.
  • Tertuduh didakwa memiliki senjata api buatan sendiri kaliber 9mm, lima laras senapang angin serta 6,158 butir peluru tanpa lesen.
  • Mahkamah tidak benarkan ikat jamin; pertuduhan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun, kes disambung sebutan pada 20 Ogos.

Tertuduh, Ling Boon Xu, 30 tahun, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pondok kayu di belakang sebuah rumah di Kampung Cina, Sitiawan, Manjung antara pukul 10 malam hingga 10.30 malam pada 1 Julai lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis ‘rifle’ buatan sendiri berkaliber 9 milimeter mengikut Seksyen 8 Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa memiliki lima laras senapang angin serta 6,158 butir peluru dan amunisi tanpa lesen atau permit sah di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960, yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan kes melibatkan senjata api.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Ogos depan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam serta penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.