PGA rampas 7,200 kosmetik disyaki diseludup dari Thailand

Rampasan 7,200 batang kosmetik dipercayai diseludup dari Thailand bernilai RM144,000/Foto PGA Briged Tenggara

RANTAU PANJANG, 14 Julai – Kira-kira 7,200 batang kosmetik dipercayai diseludup dari Thailand dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Pengkalan Haram Bilah Dollah, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek melarikan diri ke arah Thailand dengan menaiki perahu, tiada tangkapan dibuat.
  • Anggota menemui kotak ditinggalkan yang mengandungi kosmetik disyaki diseludup dari negara jiran.
  • Rampasan diserahkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kelantan dan disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Rampasan kosmetik itu dianggarkan bernilai RM144,000, namun tiada tangkapan dilakukan selepas suspek melarikan diri ke arah Thailand dengan menaiki perahu.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA mengesan seorang lelaki sedang memunggah beberapa kotak di Pengkalan Haram Bilah Dollah ketika rondaan kira-kira pukul 8 malam.

“Suspek bertindak melarikan diri ke arah Thailand dengan menaiki perahu sebaik menyedari kehadiran anggota PGA dan gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak-kotak yang ditinggalkan menemukan 7,200 batang kosmetik yang disyaki diseludup dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota menunggu kira-kira 30 minit di lokasi, namun tiada pihak tampil menuntut barangan berkenaan sebelum kesemua kosmetik itu dirampas.

Menurut Ahmad Radzi, rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kelantan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.