Dua rumah musnah dalam kebakaran di Dungun

Foto RTM

DUNGUN, 10 September- Dua buah rumah dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Taman Murni Perdana di sini, pagi tadi, manakala seorang lelaki cedera ketika cuba menyelamatkan barangan miliknya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi pemadaman melibatkan 32 anggota dan empat jentera dari beberapa Balai Bomba dan Penyelamat.
  • Angin kuat menyebabkan kebakaran cepat merebak, menyukarkan usaha pemadaman.
  • Kerosakan dianggarkan hampir 95 peratus pada kediaman, dua kenderaan penduduk turut musnah; punca dan kerugian disiasat.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, Md Amran Ahmad, 55, mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.

Md Amran berkata beliau berada di dalam bilik air sebelum terdengar bunyi letupan kuat dari arah ruang parkir kenderaan.

“Saya keluar dan nampak ruang tamu gelap. Di bahagian depan nampak api. Saya cari adik ipar saya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), panggil-panggil tetapi dia tidak menyahut.

“Kemudian saya nampak pintu dapur sudah terbuka dan dia keluar melalui pintu itu,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Zon 2, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Zailani Abdullah berkata operasi pemadaman membabitkan 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, BBP Dungun, BBP Kerteh dan BBP Kijal dengan kekuatan empat jentera.

Beliau berkata dua rumah terbabit masing-masing terbakar kira-kira 95 peratus. Sementara itu dua lagi rumah bersebelahan berjaya diselamatkan daripada turut terbakar.

“Antara kesukaran yang kami hadapi ialah angin yang agak kuat hari ini, menyebabkan kebakaran cepat merebak,” katanya.

Mohd Zailani berkata operasi pemadaman tamat sepenuhnya kira-kira 3.30 petang, manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.