Penemuan mayat dalam tangki kumbahan, polis klasifikasikan sebagai kes bunuh

Foto hiasan

NIBONG TEBAL, 10 September – Polis mengklasifikasikan semula kes penemuan mayat seorang lelaki tempatan di dalam tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Seri Bistari di sini sebagai kes bunuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bedah siasat ke atas mayat telah dijalankan dan identiti lelaki itu disahkan.
  • Polis menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti motif, punca kejadian serta mengesan dan menahan suspek.
  • Mayat dipercayai lelaki lingkungan 50-an ditemui dengan tangan dan kaki terikat dalam tangki kumbahan di belakang rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hasil bedah siasat dan perkembangan siasatan.

“Kes itu telah diklasifikasikan semula daripada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kini disiasat sebagai kes bunuh.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh bagi mengenal pasti motif serta punca kejadian, selain mengesan dan menahan suspek yang terlibat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dijalankan hari ini manakala identiti lelaki berkenaan turut disahkan.

Mohd Norazmi berkata kes itu pada mulanya disiasat susulan laporan kehilangan seorang lelaki tempatan yang dibuat pada 7 Sept lepas.

Mangsa dipercayai berusia lingkungan 50-an dan mayatnya ditemukan dengan tangan serta kaki terikat di dalam tangki kumbahan di belakang rumah berkenaan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.