Dua pemandu berlagak ‘marsyal’ konvoi kereta mewah ditahan polis

Dua pengiring konvoi kereta mewah tidak sah ditahan polis/Foto tular orang awam

ISKANDAR PUTERI, 16 Ogos – Dua pemandu yang berlagak sebagai ‘marsyal’ dengan memberhentikan kenderaan lain semata-mata bagi memberi laluan kepada konvoi kereta mewah membawa padah apabila ditahan polis, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua lelaki, 54 dan 65 tahun, ditahan bersama kenderaan pada 15 Ogos untuk membantu siasatan.
  • Konvoi kereta mewah dilaporkan bergerak dari Puteri Harbour ke Pusat Bandar Johor Bahru.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 110 Akta Pengangkutan Jalan 1987, denda maksimum RM1,000 jika sabit kesalahan.
  • Empat saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan spesifikasi; kenderaan turut disita; polis beri amaran tegas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Saifullah Jaya berkata, kedua-dua lelaki berusia 54 dan 65 tahun itu ditahan bersama kenderaan masing-masing pada 15 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati konvoi kereta mewah itu dalam perjalanan dari Puteri Harbour menghala ke Pusat Bandar Johor Bahru.

“Setiba di lokasi kejadian, kedua-dua pemandu terbabit bertindak sebagai pengiring ‘marsyal’ dengan menahan kenderaan bagi memberi laluan kepada kenderaan konvoi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri berjaya menahan kedua-dua pemandu bersama kenderaan terbabit pada 15 Ogos.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 110 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penalti kerana galangan dan gangguan, dengan denda tidak melebihi RM1,000 jika disabitkan kesalahan.

“Sebanyak empat keping saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan ketidakpatuhan terhadap spesifikasi kenderaan yang ditetapkan.

“Kenderaan terbabit turut disita bagi tindakan lanjut,” katanya.

Saifullah berkata, pihaknya memberi peringatan tegas bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak sebagai pengiring konvoi tidak sah dengan menghalang lalu lintas atau memberhentikan kenderaan awam secara tidak sah.

“Tindakan sedemikian jelas mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.