
KUCHING, 20 Julai– Dua lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup dadah bernilai RM1.32 juta melalui penerbangan domestik dari Johor Bahru ke Kuching.
- Pemeriksaan Cawangan Narkotik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 9 Julai membawa kepada penahanan suspek.
- Kes pertama: 13 bungkusan "teh Cina" disyaki Methamphetamine seberat 13,200 gram ditemui selepas suspek menanggalkan tag bagasi.
- Kes kedua: 13 bungkusan Methamphetamine 13,178 gram dan 83 pil Eramin 5 ditemui; kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, kedua-dua suspek ditahan hasil pemeriksaan pegawai Cawangan Narkotik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 9 Julai lalu.
“Bagi kes pertama, seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas bertindak menanggalkan tag bagasi bagi mengelakkan dirinya dikesan sebagai pemilik bagasi berkenaan.
Pemeriksaan ke atas bagasi itu menemukan 13 bungkusan teh Cina yang disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 13,200 gram dengan nilai anggaran RM660,000,” katanya dalam sidang media di sini.
Beliau memaklumkan, dalam kes kedua, seorang lagi lelaki warga tempatan ditahan selepas turut menanggalkan tag bagasi yang dibawanya.
Pemeriksaan lanjut menemukan 13 bungkusan teh Cina mengandungi Methamphetamine seberat 13,178 gram serta 83 biji pil Eramin 5 dengan nilai anggaran RM 660,560.
“Modus operandi bagi kedua-dua kes adalah dengan membawa masuk dadah melalui penerbangan domestik dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak.
Suspek kemudiannya menanggalkan tag dan mengelakkan diri dari dikesan oleh pihak berkuasa,” ujarnya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.