
AYER KEROH, 20 Julai– Seorang pegawai Jabatan Imigresen Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,950.
- Pegawai didakwa menerima suapan daripada pengusaha restoran untuk melindungi pekerja asing tanpa permit.
- Dakwaan melibatkan wang tunai RM150 hingga RM300 setiap transaksi, berlaku di restoran Jalan Muar, Merlimau antara 1 Jan hingga 10 Julai 2025.
- Didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) SPRM, hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda; mahkamah benarkan jaminan RM12,000.
Suapan itu didakwa diperoleh daripada seorang pengusaha restoran sebagai balasan melindungi pekerja asing tanpa permit.
Mohd Nazrul Md Yasin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai antara RM150 hingga RM300 daripada pengusaha restoran melalui tujuh transaksi berasingan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Muar, Merlimau, Jasin antara 1 Januari hingga 10 Julai 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan yang ditetapkan pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Ogos depan.