
KOTA TINGGI, 22 September – Seorang individu berusia 37 tahun direman sehingga Isnin depan (28 September) bagi membantu siasatan berhubung kes mencampak anak saudaranya berusia 5 tahun ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, semalam.
- Kanak-kanak lelaki 5 tahun dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili dan meninggal dunia.
- Suspek kemudian mengamuk dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun menggunakan parang.
- Siasatan mendapati suspek dipercayai menghadapi masalah kesihatan mental.
Perintah reman dikeluarkan Hakim Hafizah Abdul Rajak selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek sebelum itu, dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk pemeriksaan kesihatan, sebelum tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi.
Semalam, mangsa meninggal dunia dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman mengesahkan suspek kemudian mengamuk dan mengejar seorang individu berusia 40 tahun, dengan bersenjatakan parang.
Siasatan mendapati, suspek dipercayai menghadapi masalah kesihatan mental.