
KUALA LUMPUR, 22 September – Seorang penumpang dipercayai pitam sebelum terjatuh ke landasan di Stesen Wangsa Maju, pagi tadi.
- Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan dan bekalan kuasa landasan diputuskan, menyebabkan kelewatan perkhidmatan laluan Kelana Jaya.
- Penumpang berjaya dikeluarkan daripada landasan oleh petugas stesen dan dibawa ke bilik kecemasan untuk rawatan awal.
- Rapid KL menasihatkan penumpang kurang sihat atau memerlukan bantuan mendapatkan pertolongan petugas stesen atau Polis Bantuan dan kekal di belakang garisan kuning.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 6.52 pagi, menyebabkan sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan sebagai langkah keselamatan.
Menurut kenyataan itu, bekalan kuasa ke landasan turut diputuskan sementara, menyebabkan perkhidmatan di laluan Kelana Jaya mengalami sedikit kelewatan.
“Penumpang terlibat kemudiannya berjaya dibawa keluar dari kawasan landasan oleh petugas stesen dan dibawa ke bilik kecemasan untuk mendapatkan rawatan awal,” menurut kenyataan itu hari ini.
Rapid KL turut menasihatkan penumpang yang berasa kurang sihat atau memerlukan pertolongan supaya mendapatkan bantuan daripada Polis Bantuan atau petugas stesen.
Penumpang juga diingatkan supaya sentiasa berada di belakang garisan kuning ketika berada di platform sebagai langkah keselamatan sementara menunggu tren.