46 migran ditangkap di Sabak Bernam

Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR, 2 Mac – 49 migran warga Indonesia, termasuk tiga lelaki dipercayai berperanan sebagai tekong, dicekup polis menerusi Op Pintas membanteras sindiket penyeludupan di perairan Sabak Bernam, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 49 migran warga Indonesia ditahan dalam serbuan Op Pintas di perairan Sabak Bernam.
  • Tiga lelaki disyaki tekong turut ditangkap bersama migran berumur 25 hingga 45 tahun.
  • Migran menaiki bot jenis pom pom dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia.
  • Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdangan Orang 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Serbuan dilakukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kira-kira pukul 2 pagi itu turut mendapat kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Task Force NSO MAPO, Kementerian Dalam Negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata kesemua migran tersebut berumur antara 25 hingga 45 tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka menaiki bot jenis “pom pom” dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia dari pesisiran pantai Sabak Bernam.

“Mereka dikenakan bayaran sekitar RM1,500 hingga RM 2,000 seorang dibayar secara tunai kepada transporter.” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.