16 individu termasuk 14 kanak-kanak didakwa terbabit kes gaduh

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU, 14 April– Seramai 14 kanak-kanak lelaki dan dua wanita dewasa yang juga suspek kes pergaduhan di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai Jumaat lalu akan dihadapkan ke mahkamah, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan membuat kekecohan di tempat awam; hukuman hingga dua tahun atau denda.
  • Dua wanita dewasa dikenakan pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 323 kerana menyebabkan kecederaan; hukuman boleh setahun atau denda RM2,000.
  • Polis menegaskan pergaduhan pelajar tidak boleh dipandang ringan dan menyeru ibu bapa, sekolah serta masyarakat bersama memantau dan mendidik anak.
  • Polis menerima maklumat orang awam, melakukan tangkapan di beberapa kawasan dan suspek mengaku pergaduhan tercetus selepas satu suspek ditampar.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua mereka menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana bergaduh sesama sendiri dan membuat kekecohan di tempat awam.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dua wanita dewasa berkenaan turut akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad – Polis Johor

Datuk Ab Rahaman berkata, pertuduhan ke atas semua tertuduh akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru.

“Polis Johor ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk pergaduhan atau salah laku jenayah dalam kalangan pelajar sekolah adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

“Pada masa yang sama, pihak polis menyeru kepada ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat agar bersama-sama memainkan peranan dalam mendidik dan memantau tingkah laku anak-anak supaya tidak terpengaruh dan terjebak dalam jenayah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari Jumaat lalu polis menerima maklumat daripada orang awam berkaitan pergaduhan pelajar di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai.

Bertindak atas maklumat itu, polis melakukan tangkapan bermula pukul 3 petang hingga 11 malam hari sama terhadap 14 kanak-kanak lelaki dan dua perempuan dewasa.

Tangkapan dibuat di kawasan Taman Nusa Bestari dan Iskandar Puteri membabitkan suspek berumur lingkungan 12 hingga 37 tahun.

Hasil soal siasat yang dijalankan kesemua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu yang berpunca akibat tidak puas hati apabila salah seorang daripada suspek ditampar hingga membawa pergaduhan selepas waktu persekolahan.