
KUALA LUMPUR, 14 April – Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan sekeras-kerasnya penyebaran imej palsu di media sosial yang mendakwa Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
- Datuk Seri Mohamad tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang ditularkan mengenai penjawat awam menanam ganja.
- Kenyataan itu disifatkan sebagai fitnah dan hasil manipulasi digital yang boleh mengelirukan orang awam.
- Pejabat membuat laporan rasmi kepada MCMC untuk siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak terlibat.
- Semakan RTM sahkan imej tular adalah janaan AI; imej asal dimuat naik di Facebook rasmi pada Disember 2025.
Menurut kenyataan itu, Datuk Seri Mohamad tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang ditularkan.
“Kenyataan itu adalah fitnah serta hasil manipulasi digital yang tidak benar dan boleh mengelirukan orang awam.
“Sehubungan itu, laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak yang terlibat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan kandungan palsu serta sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih.
Pada awal Mac lalu, Mohamad Sabu, menyarankan penjawat awam supaya mula bercucuk tanam sebagai langkah persediaan sekiranya konflik di Asia Barat kekal berlarutan.

Hasil semakan Berita RTM mendapati gambar yang tular itu merupakan imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang disunting dengan pokok ganja.
Semakan lanjut mendapati imej asal dimuat naik menerusi akaun Facebook rasmi Mohamad Sabu pada Disember 2025.