
KOTA BHARU, 14 April – Pelajar sekolah rendah dan menengah yang ditahan selepas merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok, Rantau Panjang, Ahad lalu, boleh didakwa di mahkamah.
- Pendakwaan terhadap pelajar bergantung kepada keputusan pihak pendakwa.
- Kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaan; semua ditahan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.
- Polis bertegas tidak akan berkompromi kerana wujud kes cubaan membawa masuk dadah menggunakan kanak-kanak.
- Guru yang dipercayai merempuh dua pelajar, menyebabkan kematian seorang, dibebaskan jaminan dan akan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, bagaimanapun, ia bergantung pada keputusan pihak pendakwa.
Katanya, daripada 34 pelajar yang ditahan, 29 daripadanya berumur lebih 10 tahun.
“Setakat ini, kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan.
“Polis bertegas dalam hal ini kerana sebelum ini sudah ada kes membabitkan cubaan membawa masuk dadah ke negara ini menggunakan kanak-kanak bawah umur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap kesalahan itu kerana mereka sudah diberi pilihan untuk menggunakan laluan masuk yang sah.
Namun, ada ibu bapa menggunakan alasan kos lebih murah jika merentas secara haram menggunakan pangkalan terbabit.
Dalam perkembangan lain, Datuk Mohd Yusoff memaklumkan, guru yang dipercayai merempuh dua pelajar di hadapan surau sekolah hingga mengakibatkan kematian seorang pelajar Tingkatan Satu, dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurutnya, guru berusia 57 tahun itu dibebaskan pagi ini selepas tamat tempoh reman.
Wanita berkenaan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat selepas siasatan selesai dijalankan.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.