JOHOR BAHRU, 5 Oktober - Seorang lelaki warga tempatan mengalami kerugian RM224,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi aplikasi Whastapp.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman dalam kenyataan berkata, mangsa, 57 tahun itu mendakwa tertarik dengan skim pelaburan yang dikenali sebagai ‘Freezer’ yang menawarkan keuntungan lumayan.
Menurutnya mangsa telah melihat satu iklan skim pelaburan tersebut di applikasi whatsapp pada Januari 2022, di mana pada mulanya dia ditawarkan untuk membeli tiga unit freezer yang berharga RM11,000.00 bagi setiap satu unit.
"Mangsa telah melaburkan wang sebanyak RM33,000.00 untuk membeli tiga unit freezer dan dijanjikan akan mendapat pulangan RM800.00 bagi setiap unit dalam tempoh 24 bulan.
"Selepas mangsa mendapat keuntungan pertama berjumlah RM85,600.00, mangsa telah membuat pelaburan penambahan secara berperingkat hingga pelaburannya mencecah RM224,000.00.
"Mangsa yang mengunakan wang simpanan KWSP dan wang simpanan peribadinya menyedari ditipu apabila tidak menerima komisen pulangan hasil pelaburan seperti yang dijanjikan setiap bulan berjumlah RM22,400.00 bagi 28 unit freezer yang dilaburnya.
"Mangsa kemudian membuat laporan polis semalam (4 Oktober) dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.